Orang Islam mudah menerima? Persoalan itu wajar kita tanyakan apabila
hakikatnya nampak begitu kerana apa juga yang terbaru dan terkini,
pastinya kita tidak mahu ketinggalan. Mungkin perasaan perlu mengikut
aliran dan tidak mahu ketinggalan mendorong kita mengikut arus.
Sebenarnya tidak salah mengikut arus, tetapi dalam
kecenderungan kita menjadi sebahagian daripada perubahan, ada batas
serta peraturan yang perlu dipatuhi khususnya sebagai umat Islam,
tuntutan agama sentiasa menjadi penanda aras terhadap apa juga tindakan
yang ingin kita lakukan. Justeru, amat menyedihkan apabila ada yang
mempertikaikan keputusan pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap
hal ehwal agama kerana yang diputuskan itu tidak memenuhi kehendak pihak
tertentu atau secara jelas menentang kemahuan mereka.
Namun, saya bukan hendak membangkitkan
beberapa insiden besar yang berlaku dalam masyarakat apabila ada pihak
menentang atau mempersoalkan keputusan mereka yang arif dalam hukum
agama dengan pandangan serta perbahasan mengikut pemikiran mereka. Apa
yang ingin saya ketengahkan ialah pemandangan biasa dilihat dalam
kalangan remaja, belia dan orang muda, malah ada juga golongan dewasa
yang menjadikan pemakaian tudung ibarat pertunjukan fesyen, siapa lebih
terkini gayanya atau bijak menggayakan fesyen bertudung.
Sekali lagi, tidak salah bergaya untuk
kelihatan cantik kerana Allah sukakan yang cantik, tetapi biarlah
kecantikan itu yang benar-benar cantik. Dalam erti kata lain, kecantikan
pemakaian tudung biarlah mengikut syariat serta matlamat utama kenapa
ia diwajibkan terhadap perempuan Islam.
Apa yang terjadi sekarang, pemakaian
tudungnya sangat cantik dengan pelbagai gaya, tetapi secara keseluruhan
ia gagal memenuhi hikmah disyariatkan bertudung apabila baju dipakai
melekat pada badan, berada di atas punggung dan seluar pula mengikut
bentuk kaki, tidak kira yang kurus panjang atau tidak kurang yang padat
berisi.
Malah, ada yang apabila duduk, ternampak
pula sebahagian kulit badan di belakang walaupun rambut yang menjadi
sebahagian aurat sudah elok tertutup. Itu yang menimbulkan persoalan,
inikah cara berpakaian yang dianjurkan Islam kerana rasanya semua tahu
akan jawapannya.
Perkembangan ini antara sedar atau tidak
turut memberi gambaran salah terhadap konsep menutup aurat yang
disarankan agama Islam. Oleh itu, marilah bersama kita menilai,
memikirkan semula serta mengambil tindakan sebaiknya supaya niat
memenuhi tuntutan agama benar-benar memberi manfaat serta ganjaran
pahala, bukan sebaliknya, menjadi usaha sia-sia.
Dalam hal ini Allah berfirman yang
bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu,
dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi
menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara demikian lebih
sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan
itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun
lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59)
Ini hanyalah pandangan peribadi kerana
saya akur naluri manusia yang berbeza serta pandangan terhadap sesuatu
itu pelbagai mengikut tahap kefahaman atau cara mereka ingin memahami
sesuatu peraturan dan syariat agama. Tetapi sebagai insan kerdil yang
melihat berlaku kelemahan dalam masyarakat, rasanya tidak salah saya
membangkitkan isu ini.
Tambahan dengan pembaharuan yang berlaku
begitu pantas, industri pakaian serta fesyen turut menerima tempiasnya
maka kita dapat lihat macam-macam rekaan terkini memenuhi pasaran. Ada
yang sesuai untuk wanita Islam dan ada jelas tidak mematuhi kehendak
syarak. Dalam membicarakan soal pakaian wanita, Islam tidak menetapkan
pakaian tertentu, tetapi wanita Islam perlu mengikuti garis panduan
syarak dengan memastikan pakaian itu hendaklah menutup aurat mereka,
menutup dengan sebenar-benarnya.
Antara tujuan berpakaian itu ialah untuk
menutupi atau melindungi bahagian yang tertentu. Jika mereka memilih
pakaian nipis atau jarang hingga boleh dikesan atau dilihat auratnya,
maka ini bererti pakaian yang dipakai sudah tidak berfungsi lagi. Semoga
ibadah kita dan kesungguhan memenuhi tuntutan syariat menjadikan kita
termasuk dalam golongan yang sentiasa mendapat keredaan serta rahmat
Allah.
sharing !s caring =)